Mengajar dan Belajar.
Teks: Norhana Marsom
Assalamualaikum w.b.t,
Pasti kebanyakan ibu bapa inginkan anak-anak mereka mempunyai tingkah laku, percakapan dan mahir dalam segala hal. Begitu juga saya. Saya mahukan anak yang mampu menghafaz al-Quran, rajin membaca al-Quran, rajin sembahyang. Jadi bagaimana saya mahu terapkan nilai-nilai ini?
Mudah sahaja. Rupa-rupanya peranan ibu bapa adalah sangat penting. Cara mengajar mereka adalah dengan TINDAKAN bukan ARAHAN. Kita yang perlu menunjukkan dengan tindakan kita sendiri seperti mengaji bersama-sama mereka, solat berjemaah dan menghafaz al-Quran. Secara tak langsung, mereka sendiri akan terbiasa melakukan perkara tersebut dengan mudah.
Ianya memang terbukti, kerana saya boleh lihat perbezaan di antara anak sulong dan anak kedua saya. Dulu kami sembahyang secara bergilir-gilir untuk mengelak anak dari mengacau kami sehingga lah dia besar dalam umur 2 tahun. Akibatnya, anak saya ini kurang sedikit pendedahan kepada adab yang perlu dijaga ketika orang lain bersembahyang.
Bila anak kedua saya lahir, saya membiasakan diri sembahyang bersama-samanya (saya baringkan dia di sebelah). Sangat terkejut apabila dia boleh meniru gaya saya sembahyang seawal umur 6 bulan. Dan dia juga menjadi anak yang sangat senang di jaga dan mudah mendengar kata.
Bukanlah saya katakan anak saya yang sulong itu tidak mendengar kata, tetapi kami nampak perbezaannya bila kami ubah cara kami mengajar mereka iaitu dengan TINDAKAN kami sendiri.
Setiap anak mempunyai kemahiran, kepakaran dan perangai yang berbeza. Saya sangat bangga dengan kedua-dua anak saya kerana mereka sumber inspirasi saya.
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa baca entri saya ini. Boleh juga dikongsikan info ini buat panduan semua.
Senyum selalu,
Ibu Hana