Resepi Sambal Kentang Rangup
Teks: Norhana Marsom
Gambar: Norhana Marsom
Assalamualaikum w.b.t,
Dah lama resepi ni terperam dalam draft. Hari ini tengok semula draft, rupa-rupanya belum publish. Ok lah, mesti ramai dah tahu sambal kentang ni kan? Sekarang dah ramai yang jual secara online dah sambal ni. Jadi, mudah sangat nak dapat kalau mengidam bila-bila nanti kan. Hehe.
Bahan:
2 biji kentang (disagat)
Segenggam kacang tanah
Segenggam ikan bilis yang sudah dikopek
6 keping tempe (dihiris nipis)
Minyak masak
Untuk sambal:
*Segenggam ikan bilis
*2 biji bawang merah sederhana besar
*2 ulas bawang putih
*5-6 sudu besar lada kering yang sudah dikisar
Air asam
Gula
Garam
*Dikisar
Cara-cara:
Goreng kentang yang telah disagat ke dalam minyak yang dicampur sedikit garam untuk mengelakkan dari kentang melekat antara satu sama lain. Goreng sehingga kekuningan. Kemudian goreng ikan bilis, kacang tanah dan juga tempe. Angkat dan toskan. Biarkan sejuk.
Selepas itu, tuang sedikit minyak ke dalam kuali dan goreng bahan yang dikisar sehingga ladanya masak. Kemudian masukkan garam, gula dan air asam mengikut citarasa anda. Saya suka lebihkan gula sebab sambal ini pedas, jadi lebihan gula itu untuk rasa lemak, manis dan kurangkan rasa pedas. Masak sehingga sambal kelihatan likat dan matikan api.
Kemudian sejukkan sambal. Sambal perlu disejukkan untuk mengelakkan kentang liat selepas digaul ke dalam sambal. Setelah sambal sejuk, masukkan kentang, ikan bilis, kacang tanah dan tempe yang digoreng tadi ke dalam sambal dan gaul sehingga sebati. Kemudian masukkan ke dalam bekas kedap udara.
Sambal sedia dimakan.
tadaaaaa... |
Sengaja buat sambal ini untuk best friend forever katanya. Hujung minggu ni nak buat lagi, ada yang nak order? Eh main-main pula dia. Hehe, gurau. Selamat menjamu mata. Jangan meleleh air liur tau. Tengok je.
2 comments
Write commentsas salam sis.kentang tu still ranggup tak kalau buat banyak2:-)
ReplyWaalaikumussalam. Ye insyaAllah masih rangup kentangnya asalkan masukkan ke dalam bekas kedap udara.
ReplyTerima kasih kerana sudi meluangkan masa baca entri saya ini. Boleh juga dikongsikan info ini buat panduan semua.
Senyum selalu,
Ibu Hana